ad

Dana Wanita Berdaya Selangor meningkat, perkasa kaum hawa

14 Nov 2025, 9:35 AM
Dana Wanita Berdaya Selangor meningkat, perkasa kaum hawa

SHAH ALAM, 14 NOV : Agensi negeri yang melaksana program untuk memperkasa wanita Selangor bakal menerima peruntukan RM2.8 juta bagi melaksana dua komponen utama tahun hadapan.

Tahun ini, Wanita Berdaya Selangor (WBS) menerima peruntukan RM2.4 juta sekali gus menunjukkan peruntukan buat agensi itu meningkat sebanyak 16.7 peratus.

Untuk tahun 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komponen yang dilaksana WBS itu membabitkan program Ibu Niaga dengan kerjasama Taylor’s University, kedua Product Lab Hasil Suri Selangor (HaSSEL) bersama Khadijah International Waqf Foundation.

“(Kedua-dua komponen) sebagai platform memperluas pasaran produk wanita Selangor ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Tambah Amirudin lagi, WBS juga akan memeterai kerjasama strategik dengan Mardi Corporation (MardiCorp) bagi meneroka peluang wanita dalam bidang teknologi pertanian dan agrokomoditi.

“Selain (itu), (WBS juga) bekerjasama dengan Kiddocare 2 Malaysia bagi memperkukuh sistem sokongan penjagaan kanak-kanak, demi membantu wanita kembali bekerja tanpa menjejaskan tanggungjawab keluarga,” katanya.

Peranan WBS adalah untuk memperkasakan wanita di Selangor melalui tiga teras utama: Badan Pemikir, Pembinaan Kapasiti, dan Program Pemberdayaan Wanita.

WBS melaksanakan inisiatif seperti pembangunan kemahiran, platform pemasaran produk wanita, program kepimpinan, dan program sokongan untuk memastikan wanita di Selangor dapat menyumbang secara ekonomi dan sosial, serta meningkatkan kedudukan mereka dalam pelbagai bidang.