SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor dan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan bersetuju melaksanakan lima tindakan utama bagi mengurangkan risiko banjir di Lembah Klang.
Dato’ Menteri Besar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata persetujuan itu meliputi pengurusan tanah, peningkatan kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar mampan serta pengaliran air.
Menerusi kenyataan bersama, Dato' Seri Amirudin Shari dan Hannah Yeoh menjelaskan kerjasama itu penting berikutan tiga daripada 10 rakyat Malaysia menetap di Selangor dan Kuala Lumpur, serta menyumbang 41.7 peratus ekonomi negara.
“Kerajaan Selangor dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan meneruskan penyelarasan bersama agensi teknikal berkaitan bagi memastikan pengurusan banjir, pembangunan bandar dan perlindungan ruang hijau dirancang secara seimbang dan mampan.
“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar, mengurangkan keresahan penduduk Kuala Lumpur dan Selangor ketika musim hujan melalui perancangan yang lebih tersusun dan bersepadu,” menurut kenyataan itu.
Lima tindakan yang dipersetujui dimulakan dengan mesyuarat teknikal dalam tempoh dua minggu bagi memperincikan lokasi, skop projek, kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan.
Kedua, kajian kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate akan dijalankan bagi menilai keupayaannya memenuhi keperluan pengurusan air untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Ketiga, agensi teknikal akan mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu dengan mengambil kira aspek teknikal, status tanah, alam sekitar dan masyarakat setempat.
“Bagi tindakan keempat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut mengenal pasti tiga kolam sedia ada untuk dinaik taraf, iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong.
“Sementara itu, bagi kolam di Bukit Lagong, kawasan berkenaan terletak dalam hutan simpan yang perlu dinyahwartakan bagi membolehkan ia digunakan sebagai kolam takungan,” tambahnya.
Tindakan kelima pula membabitkan penyelarasan kerja pengorekan sungai dan pengeluaran kelodak antara JPS Selangor dan JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar di Selangor bagi pembuangan sisa korekan kelodak.
Setiap tindakan akan diperincikan meliputi lokasi, agensi pelaksana, kos, sumber pembiayaan dan tempoh pelaksanaan bagi memastikan usaha pengurusan banjir dapat dilaksanakan secara tersusun serta berkesan di Selangor dan Kuala Lumpur.








