Peremajaan Shah Alam: Rancang parkir berpusat, rancakkan aktiviti bandar - MB

20 Nov 2026, 1:09 PM
Peremajaan Shah Alam: Rancang parkir berpusat, rancakkan aktiviti bandar - MB
Peremajaan Shah Alam: Rancang parkir berpusat, rancakkan aktiviti bandar - MB
Peremajaan Shah Alam: Rancang parkir berpusat, rancakkan aktiviti bandar - MB
Peremajaan Shah Alam: Rancang parkir berpusat, rancakkan aktiviti bandar - MB

SHAH ALAM, 20 NOV: Penyediaan parkir berpusat antara perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha meremajakan pusat bandar Shah Alam, sekali gus memudahkan pergerakan pengunjung ke kawasan tumpuan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep itu turut merangkumi penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung bagi membolehkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan lebih selesa.

Menurutnya, perancangan berkenaan bertujuan menghidupkan semula kawasan sekitar Aneka Walk, SACC Mall dan Selangor International Trade Centre (SITC) sebagai kawasan yang lebih aktif serta menarik, khususnya kepada golongan muda.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, pada 20 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Kita jadikan sebagai kawasan vibrant (aktif) dan ada satu tempat kereta berpusat yang mana orang boleh selesa berjalan dari satu tapak ke satu tapak, tak panas dan dilindungi oleh bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas perancangan asal kawasan berkenaan, Amirudin berkata, pembangunan itu tidak memberi penekanan kepada penggunaan kenderaan persendirian, sebaliknya mengutamakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Ini sebenarnya memang dari awal perancangan di kawasan tersebut merupakan kawasan yang tidak sebenarnya memberi perhatian kepada kenderaan, tujuannya adalah wujudnya kenderaan awam seperti LRT dan sebagainya.

“Namun, sudah pasti isu parkir akan diambil kira nanti,” katanya.

Pemain bola sepak Selangor bermain Playstation 5 ketika hadir dalam PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live di Aneka Walk, Shah Alam pada 19 Julai 2026.

Tambah beliau, usaha meremajakan Shah Alam juga bertujuan mengubah karakter bandar raya itu yang sebelum ini lebih dikenali sebagai kawasan kediaman, dengan kebanyakan penduduk pulang dan berehat pada sebelah malam.

Katanya, Shah Alam perlu dihidupkan dengan lebih banyak aktiviti perniagaan dan sosial yang sihat supaya menjadi kawasan tumpuan bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah pengunjung luar.

“Shah Alam bandar raya yang sekitar 6.30 hingga 7.30 malam semua sudah pergi masjid. Bukanlah masalahnya, baguslah. Tetapi saya percaya perlu diremajakan kerana bandar raya perlu hidup dengan pelbagai aktiviti yang sihat dengan perniagaan dan itu cuba kita hidupkan di sini.

“Kita tidak mahu SACC Mall meriah ketika musim perayaan dengan orang hanya berkunjung untuk membeli baju atau kelengkapan raya,” katanya.

Pengunjung melalui laluan pejalan kaki Aneka Walk di Aneka Walk @ SA Sentral, Shah Alam pada 25 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan berkaitan, pembangunan Aneka Walk yang menelan belanja RM64.9 juta serta pengukuhan tarikan sekitar SACC Mall dan hotel Grand Mercure yang mula menerima pengunjung pada 15 November lalu dijangka menyuntik nafas baharu kepada kawasan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.