
KUALA LANGAT, 23 OGOS: Persaingan dalam kalangan adik-beradik mencuri perhatian pada saingan sukan pelayaran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Latihan Perahu Layar, Batu Laut, apabila beberapa keluarga bertanding untuk kontinjen masing-masing.
Selain deretan kapal layar yang menghiasi perairan Batu Laut, persaingan sesama adik-beradik turut menjadi warna menarik apabila mereka bukan sahaja turun sebagai rakan sepasukan, malah terpaksa mengetepikan hubungan kekeluargaan ketika beraksi.
Bagi Kontinjen Selangor, tiga beradik Mohd Zailan iaitu Muhammad Zafir, 21, Nur Zafrina Shuhada, 18, dan Muhammad Zafrin, 17, masing-masing memberikan cabaran terbaik dalam acara masing-masing.
Lebih manis, Muhammad Zafir dan Nur Zafrina Shuhada berjaya menghadiahkan pingat emas buat Selangor dalam acara ILCA 7 lelaki dan ILCA 6 wanita pada temasya kali ini.
Turut menarik perhatian ialah pasangan adik-beradik juga dari Selangor, Nur Badrina Husna Hamidon, 15, dan Nur Ariana Nafeesa Hamidon, 14, dengan Nur Badrina berjaya menyumbangkan pingat perak menerusi acara Optimist Individu Wanita.
Persaingan keluarga turut berlaku dalam Kontinjen Sabah menerusi pasangan adik-beradik perempuan, Nurhafizahanani, 18, dan Nurhafizanah Zailan, 17, dengan si adik berjaya merangkul pingat emas dalam acara ILCA 4 wanita.
Bagi atlet terbabit, persaingan sesama adik-beradik menjadi pencetus motivasi untuk memberikan aksi terbaik kerana masing-masing tidak mahu mengalah kepada ahli keluarga sendiri.
Nur Zafrina Shuhada berkata, persaingan dengan abang dan adiknya bukan sahaja menjadikan mereka seteru ketika pertandingan, malah menjadi sumber motivasi untuk terus meningkatkan prestasi.
“Lumrah kita tidak mahu kalah kepada adik kita sendiri tetapi itulah yang meningkatkan motivasi kami sebagai satu pasukan untuk beri yang terbaik ketika beraksi,” katanya kepada Media Selangor.
Katanya, hubungan kekeluargaan tetap menjadi keutamaan selepas tamat pertandingan dan mereka saling memberikan sokongan sepanjang kejohanan.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah atlet serta ahli keluarga ketika berada di podium, terutama apabila segala usaha dan latihan yang dilakukan sebelum ini membuahkan hasil menerusi kejayaan meraih pingat.
Persaingan unik sesama adik-beradik itu sekali gus menambah warna kepada saingan pelayaran SUKMA 2026, selain membuktikan sukan berkenaan mampu menyatukan keluarga menerusi semangat persaingan sihat dan sokongan antara satu sama lain.








