SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa

22 Ogos 2026, 5:09 AM
SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa
SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa
SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa
SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa
SUKMA 2026 promosi keindahan Batu Laut, berpotensi anjur sukan layar antarabangsa

BANTING, 22 OGOS: Pemilihan Batu Laut, Kuala Langat sebagai salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi acara perahu layar disambut baik warga setempat yang melihat penganjuran temasya itu sebagai peluang memperkenalkan daerah berkenaan kepada pengunjung dari seluruh negara.

Acara perahu layar yang sememangnya sinonim dengan kawasan Batu Laut berlangsung di Pusat Latihan Perahu Layar, sekali gus menarik perhatian penduduk tempatan untuk hadir menyaksikan aksi atlet yang bertanding.

Bagi warga Kuala Langat, pemilihan Batu Laut sebagai venue SUKMA bukan sahaja membangkitkan rasa bangga, malah membuktikan kawasan berkenaan mempunyai kemudahan dan persekitaran yang sesuai untuk penganjuran acara pelayaran bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Syazuwan Shah bersama isterinya, Siti Radhiatul Nadia

Antara yang tidak melepaskan peluang ialah Syazuwan Shah bersama isterinya, Siti Radhiatul Nadia, yang membawa anak-anak mereka menyaksikan aksi pelayaran dari dekat.

“Kami mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membawa anak-anak melihat sendiri sukan pelayaran ini. Mana tahu satu hari nanti mereka berminat untuk menceburi sukan ini.

“Batu Laut memang mempunyai pusat latihan perahu layar yang baik dan sebagai warga Kuala Langat, kami berbangga kerana pusat ini terpilih sebagai venue SUKMA,” katanya kepada Media Selangor.

Hisham Hamdan

Seorang lagi warga Banting, Hisham Hamdan, turut teruja dapat menyaksikan sendiri aksi pelayaran di perairan Batu Laut yang disifatkannya mempunyai pemandangan menarik.

“Kawasan ini mempunyai angin yang cukup baik untuk sukan pelayaran. Pusat pelayaran di sini juga berkelas tinggi dan sebagai warga Kuala Langat, pastinya saya gembira kerana SUKMA diadakan di sini.

“Ia juga boleh membuka peluang ekonomi dan pelancongan kepada warga setempat,” katanya.

Menurut Hisham, penganjuran SUKMA di Kuala Langat secara tidak langsung memberi peluang kepada penduduk mengenali sukan pelayaran dengan lebih dekat, selain memperkenalkan potensi Batu Laut kepada pengunjung dari luar.

Pemilihan Batu Laut yang kurang mendapat pendedahan berbanding lokasi bandar utama sebagai venue pertandingan turut dilihat memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya dalam memperkenalkan kawasan berkenaan kepada pengunjung.

Selain menjadi pentas persaingan atlet terbaik negara, penganjuran SUKMA di Batu Laut turut membuka ruang untuk mempromosikan Kuala Langat sebagai lokasi berpotensi bagi pembangunan sukan pelayaran dan aktiviti pelancongan pada masa hadapan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.