
BANTING, 23 OGOS: Tiga beradik atlet pelayaran, Muhammad Zafir Mohd Zailan, Nur Zafrina Shuhada Mohd Zailan dan Zafrin Mohd Zailan mencipta kenangan manis apabila dua daripada mereka menghadiahkan pingat emas buat Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Batu Laut, semalam.
Berasal dari Bagan Lalang, Sepang, trio berkenaan teruja apabila berpeluang bersaing dalam sukan yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil, selain dapat menghadiahkan kejayaan buat Selangor di laman sendiri.
Zafir, 21, yang merupakan abang sulung akhirnya menamatkan penantian selepas percubaan keempat di pentas SUKMA dengan kejayaan meraih emas dalam acara ILCA 7 lelaki.
Lebih istimewa, kemenangan tersebut hadir di negeri kelahirannya sendiri dan di perairan yang sudah cukup dekat dengan kehidupan mereka sebagai ‘anak laut’.
“Sebagai anak laut, ini adalah azam sejak kecil untuk menyumbang emas buat Selangor. Lagi manis sebab saya dapat menang di pantai saya sendiri dan bersaing dengan adik-adik saya,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Zafrina Shuhada, 18 turut menghadiahkan emas dalam acara ILCA 6 wanita selepas sebelum ini sekadar meraih pingat gangsa pada temasya terdahulu.
Menurutnya, pengetahuan mengenai keadaan perairan Batu Laut memberikan kelebihan kepada mereka berbanding pelayar yang kurang biasa dengan kawasan berkenaan.
“Siapa yang tidak biasa dengan kawasan ini akan rasa sukar dengan arus dan pada saya ini adalah kelebihan buat kami kerana telah mengetahui kawasan ini,” katanya.
Adik bongsu mereka, Zafrin, 17 pula menjadikan penampilan keduanya di SUKMA sebagai medan untuk menimba pengalaman meskipun belum berjaya menghadiahkan pingat.
“Saya gunakan SUKMA ini sebagai tempat raih pengalaman sebab saya masih muda dan akan cuba lagi selepas ini,” katanya.
Kejayaan Zafir dan Zafrina diraikan ahli keluarga serta rakan sepasukan yang disifatkan sudah menjadi sebahagian daripada keluarga besar dalam perjalanan mereka sebagai atlet pelayaran.
Kejayaan dua beradik itu turut menyumbang kepada kutipan emas Kontinjen Selangor yang kini semakin menghampiri sasaran 80 pingat emas dengan saingan SUKMA 2026 berbaki dua hari.






