
SEPANG, 22 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan tambahan RM240,000 bagi mempertingkat kerja-kerja pembersihan di semua venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, selaras dengan peranan KDEBWM sebagai rakan penaja rasmi temasya itu, peruntukan tersebut digunakan bagi menampung pelbagai operasi pengurusan sisa termasuk penambahan tenaga kerja, tong sampah dan kutipan sisa.
"Semua tempat yang kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi dan GLC, nampaknya tidak ada masalah langsung. Kita terpaksa tambah pekerja, tambah tong sampah dan kutipan.
"Tetapi tidak mengapa kerana kali terakhir kita anjurkan SUKMA adalah 28 tahun lalu. Saya amat gembira bersama Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan semua venue ini bersih," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Selangor Kitar Semula (SELKitar) Walk di Bandar Serenia di sini yang disempurnakan EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.
Ramli menjelaskan, menerusi peruntukan tambahan itu KDEBWM menyediakan pelbagai keperluan tambahan di venue yang menjadi tumpuan, termasuk Stadium Selayang dan Akuatik Selangor.
Beliau turut memuji tindakan tegas pihak berkuasa yang sentiasa memantau aktiviti tidak bertanggungjawab di venue pertandingan selain kesedaran sivik pengunjung yang membantu melancarkan kerja-kerja pembersihan.
"Saya ucap terima kasih kepada pihak berkuasa yang begitu tegas kerana ada pengunjung yang merokok sesuka hati di venue sukan. Kita juga sediakan tong sampah tambahan di kebanyakan tempat.
"Malah, masyarakat juga bimbang apabila melihat sukarelawan dan mereka buang sampah di tempat yang disediakan. Alhamdulillah semuanya nampak kemas," katanya.
Saingan SUKMA masih berlangsung dengan beberapa acara dipertandingkan sehingga hari terakhir penganjuran temasya pada Isnin ini.








