MBSJ belanja RM82.9 juta tingkatkan perkhidmatan kutipan sisa

18 Dis 2025, 7:44 AM
MBSJ belanja RM82.9 juta tingkatkan perkhidmatan kutipan sisa

SUBANG JAYA, 18 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membelanja RM82.9 juta bagi perkhidmatan kutipan sisa domestik dan sampah pukal di kawasan pentadbirannya mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2033.

Datuk Bandarnya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata mulai kontrak baharu itu, KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan 77 lori kompaktor manakala 94 unit lori 'arm roll' (RORO).

“MBSJ melantik semula KDEBWM setelah perjanjian akan tamat pada 31 Disember 2025. Jumlah penambahan sebanyak RM9.6 juta dengan kenaikan daripada RM73.3 juta setahun kepada RM82.9 juta.

Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tiga kanan) menerima replika kunci daripada Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management Ahmad Rizal Mohd Daud (tiga kiri) dalam Majlis Penyerahan Lori bagi Kontrak Baharu Perkhidmatan KDEB Waste Management di Majlis Bandaraya Subang Jaya di Hutan Bandar USJ 3C, Subang Jaya pada 18 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“MBSJ telah membuat penambahan sebanyak RM3 juta bagi kutipan sisa pepejal dan RM6.6 juta untuk pembersihan awam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kenderaan berkenaan di Taman Hutan Bandar, USJ 3C di sini, hari ini.

Amirul berkata peruntukan tambahan itu membolehkan KDEBWM meningkatkan kualiti perkhidmatan, khususnya dalam menangani masalah sampah longgok di longkang utama.

“Penambahbaikan juga dibuat mulai tahun depan skop kerja pembersihan awam oleh KDEBWM pada taman permainan di kawasan perumahan dan padang bola awam,” jelasnya lagi.

Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim bersama Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management Ahmad Rizal Mohd Daud ketika hadir dalam Majlis Penyerahan Lori bagi Kontrak Baharu Perkhidmatan KDEB Waste Management di Majlis Bandaraya Subang Jaya di Hutan Bandar USJ 3C, Subang Jaya pada 18 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain itu, beliau berharap KDEBWM dapat meningkatkan promosi bagi menggalakkan penduduk menggunakan aplikasi iClean untuk menyalurkan aduan.

Semalam, pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata hampir semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bakal menggunakan lori kompaktor dan roro baharu bermula tahun hadapan.

Dato’ Ramli Mohd Tahir memaklumkan pertukaran kenderaan itu kepada kapasiti lebih besar membolehkan kutipan sampah lebih banyak selain mengelak berlakunya kerosakan yang menjejaskan operasi.

Ramli menambah setiap aduan yang diterima KDEBWM sama ada menerusi aplikasi iClean atau wakil rakyat dan ahli majlis akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.