GOMBAK, 22 OGOS: Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI menjadi antara usaha membentuk masyarakat yang seimbang dari segi pemikiran dan tingkah laku selaras dengan perkembangan semasa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun konsep MADANI jarang diketengahkan sebelum ini, pendekatan itu diperkenalkan bagi membentuk individu berakal yang mampu berfikir dan bertindak dengan baik.
"Kalau orang sebut MADANI ia tidak semudah 1Malaysia, semudah Malaysia Prihatin atau Keluarga Malaysia, MADANI konsepnya jarang kita dengar tetapi membawa erti bahawa ada kesimbangan antara kemajuan akal dan jiwa...daripada keutuhan fizikal hinggalah kepada kemampuan serta budi pekerti dan tingkah laku baik.
"Daripada pembangunan ekonomi, sampailah kepada pembangunan fizikal. Jadi apa yang kita terjemahkan dalam program ini adalah cuba untuk meletakkan kesimbangan daripada masyarakat di kampung yang realiti, assume tahu atau anggap ia realiti dengan mereka yang berada di universiti dan mampu merungkai teori secara akademik.
"Di sinilah indahnya kesimbangan itu dan itulah konsep MADANI. Apabila akal kita sihat, hati baik pasti dapat guna ilmu yang baik dengan cara yang baik. Jika sebaliknya, akan buat perkara salah dan akhirnya tidak bawa kebaikan," katanya.
Beliau ditemui pada majlis perasmian Karnival Komuniti MADANI di Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini. Terdahulu, Amirudin turut merasmikan pusat pembangunan ekonomi komuniti Wira Damai dan Kafe Wira Damai.
Sebelum ini, sebanyak 400 kampung di seluruh negara dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI dengan peruntukan RM500,000 untuk setiap kampung bagi projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI diteruskan selepas banyak impak positif daripada pelbagai aspek antaranya sosial, ekonomi dan kebajikan dapat dilihat kepada komuniti setempat.
Katanya, inisiatif itu juga dilihat bukan sahaja menyelesaikan masalah rakyat malah merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Dalam pada itu, Amirudin berkata masyarakat kini berdepan cabaran penggunaan media sosial secara berlebihan sehingga menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin dan menjejaskan fokus.
"Cabaran kita adalah tidak boleh fokus kerana terlalu banyak lencongan dengan apa yang berlaku di sekeliling....hilang fokus sehingga mengambil tahu perkara yang tidak perlu tahu. Jika siapa paling cakap paling banyak atau berulang kali dia dianggap menang.
"Inilah cabaran sebenar pada masa kini yang perlu dihadapi bukannya politik dan tiba masanya generasi kembali kepada dunia realiti," ujarnya.











