Demi impian Olimpik, ibu bapa Nur Ieka berkorban masa, wang

22 Ogos 2026, 6:39 AM
Demi impian Olimpik, ibu bapa Nur Ieka berkorban masa, wang

KAJANG, 22 OGOS: Setiap hari, ibu bapa atlet memanah Selangor, Nur Ieka Haniesya Zainal Habsahli, sanggup meluangkan masa menghantar anak bongsu mereka ke padang latihan demi memastikan impiannya dalam sukan itu terus berkembang.

Biarpun berdepan cabaran kos tinggi serta perlu membahagikan masa dengan komitmen lain, pasangan Zainal Habsahli Zainal Abidin dan Noryatun Mawar Shafiee tidak pernah menganggapnya sebagai beban.

Sebaliknya, mereka melihat setiap pengorbanan itu sebagai pelaburan untuk masa depan anak yang diharapkan mampu melakar kejayaan lebih besar hingga ke pentas Olimpik.

Pasangan suami isteri Zainal Habsahli Zainal Abidin dan Noryatun Mawar Shafiee

“Kami dahulu juga ahli sukan, namun impian itu tidak kesampaian. Kini, kami serahkan segala harapan kepada mereka untuk meraih gelaran juara,” kata Zainal.

Menurut Zainal, beliau menyedari potensi besar yang dimiliki Nur Ieka sejak anak bongsu daripada dua beradik itu mula terbabit dalam sukan memanah pada usia 10 tahun.

“Mulai umur 10 tahun, dia sudah mula beraksi untuk Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor. Setiap hari akan turun latihan dan banyak pergi perlawanan. Dari situ Nur Ieka mula berkembang perlahan-lahan.

“Perjalanannya sangat sukar memandangkan kos untuk sukan memanah ini memang tinggi,” katanya.

Namun, Zainal bersyukur kerana Nur Ieka yang kini berusia 20 tahun mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kelab tempatan, Persatuan Memanah Selangor dan MSN Selangor sepanjang perjalanan sebagai atlet.

Sokongan sama turut diberikan kepada abangnya, Hariez Izkandar Zainal Habsahli yang pernah beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA).

Sementara itu, Noryatun berkata Nur Ieka bukan seorang yang banyak bercakap, sebaliknya lebih gemar membuktikan kemampuan menerusi usaha dan pencapaiannya.

“Dia jenis yang tidak banyak cakap. Kalau orang tidak mengenali dia, memang akan cakap dia sombong.

“Tapi, kalau dia sudah fokus sesuatu itu, dia akan buat dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Menurut Noryatun, peranannya lebih kepada menjadi tempat anak-anak meluahkan perasaan dan memberikan sokongan dari segi emosi, manakala Zainal banyak menguruskan perkara berkaitan latihan.

“Ayahnya lebih kepada urusan berkaitan latihan, manakala saya pula lebih kepada mengurus emosi mereka dan menjadi tempat anak-anak meluahkan perasaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal berkata walaupun faktor kewangan sentiasa menjadi cabaran terbesar, beliau tetap berazam melihat kedua-dua anaknya melangkah ke pentas Olimpik suatu hari nanti.

“Insya-Allah, memang sasaran saya untuk kedua-duanya layak ke Olimpik, mewakili negara dan membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.