
KAJANG, 20 OGOS: Pasukan memanah Selangor akur walaupun terkilan dengan keputusan pengadil perlawanan yang membenarkan kiraan mata bidikan pemanah Perak pada aksi separuh akhir kedua acara compound perseorangan wanita, pagi tadi.
Dalam perlawanan berkenaan, Selangor membuat bantahan selepas mendakwa pemanah Perak, Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian melepaskan panahan selepas had masa 20 saat pada end kedua (pusingan kedua).
Pengurus pasukan Selangor, G Thyagarajan berkata, isu tersebut sepatutnya mendapat perhatian juri kerana amaran masa penamat (bunyi beep) telah pun dibunyikan sebelum anak panah dilepaskan.
"Insiden berlaku apabila pemanah lawan melepaskan bidikan selepas siren penamat masa berbunyi.
"Walaupun jurulatih kami segera memaklumkan perkara itu, hakim tetap meneruskan perlawanan dan membenarkan kiraan mata tersebut," katanya kepada Media Selangor.
Katanya, mengikut peraturan, panahan itu tidak boleh dikira dan 10 markah akan ditolak daripada mata keseluruhan.

"Kesilapan ini mengganggu fokus pemanah kita sehingga kami tewas dan akhirnya kehilangan prospek pingat," katanya lagi.
Biarpun Selangor mengemukakan bantahan rasmi, Ketua Hakim (COJ) mengekalkan keputusan berasaskan klausa buku peraturan yang menetapkan bahawa keputusan 'hakim paling hampir' adalah muktamad.
"Bila kami buat bantahan rasmi, pihak juri dan hakim kata ikut keputusan hakim yang paling dekat dan keputusan itu muktamad," tambahnya.
Tegas Thyagarajan lagi, insiden tersebut menyebabkan fokus pemanah mereka terjejas, sekali gus meranapkan impian untuk meraih satu sasaran pingat.
Namun, beliau tidak menafikan mutu pengadilan dan berharap agar isu tersebut diberi perhatian serta diperbaiki pada kejohanan akan datang.
Terdahulu, Nur Alyaa tewas pada perlawanan separuh akhir dengan keputusan 136-142 kepada Perak sekali gus terlepas peluang ke final bertemu Sabah yang telah memenangi aksi separuh akhir pertama.
Perak kemudian berjaya menewaskan Sabah yang diwakili Catherine Looi Mei Wi Abdullah untuk merangkul pingat emas manakala Sarawak membawa pulang gangsa.








