SUKMA 2026: Muhammad Irfan ubat duka memanah Selangor raih perak

20 Ogos 2026, 11:05 AM
SUKMA 2026: Muhammad Irfan ubat duka memanah Selangor raih perak
SUKMA 2026: Muhammad Irfan ubat duka memanah Selangor raih perak

KAJANG, 20 OGOS: Muhammad Irfan Hilmi Mohd Kusyairi mengubat duka kem memanah Selangor selepas melakar kejutan dengan menghadiahkan pingat perak menerusi acara recurve perseorangan lelaki di Stadium INSPEN, Bangi, petang tadi.

Kejayaan itu menambah bilangan pingat buat kontinjen negeri sekali gus menyumbang pingat kedua keseluruhan untuk acara memanah yang memasuki hari keempat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pada aksi final, Muhammad Irfan berusaha mempamerkan bidikan terbaik namun belum cukup untuk mengekang kemaraan Evan yang mendahului perlawanan sejak mula.

Walaupun akur dengan keputusan akhir 7-1 kepada Sabah, Muhammad Irfan tetap berpuas hati dapat menyumbang pingat untuk pasukan.

"Syukur alhamdulillah dapat menyumbang pingat kerana saya tak sangka menang pingat untuk SUKMA kali ini, sebab tidak meletakkan apa-apa sasaran.

"Tetapi selepas sedih melihat rakan-rakan sepasukan terlepas peluang meraih pingat, jadi, pingat ini untuk mereka semua," katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Muhammad Irfan menewaskan pemanah Sarawak, Pok Hoe En pada aksi separuh akhir dengan keputusan 6-4, manakala Evan pula mengatasi wakil Pahang, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi dengan skor 6-2.

Sementara itu, pada perlawanan penentuan pingat gangsa, Muhammad Haiqal meraih tempat ketiga selepas menewaskan Hoe En dengan keputusan 6-2.

Selangor akan meneruskan misi memburu emas pertama sukan memanah melalui acara compound berpasukan lelaki dan wanita serta compound berpasukan campuran pada esok.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.