SHAH ALAM, 21 OGOS: Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 menjadi platform pengiktirafan terhadap 24 produk pelancongan yang memenuhi penilaian berkaitan kualiti, keselamatan dan pengalaman pelawat.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada produk dan pengusaha yang mengekalkan piawaian perkhidmatan berkualiti, mengutamakan keselamatan pelawat serta menawarkan pengalaman pelancongan autentik dan berdaya saing.
“Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor diwujudkan sebagai satu bentuk pengiktirafan rasmi kepada produk dan pengusaha pelancongan yang berjaya mengekalkan piawaian perkhidmatan yang berkualiti, mengutamakan keselamatan pelawat serta menawarkan pengalaman pelancongan yang autentik dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
Penilaian itu merangkumi keunikan dan identiti produk, pengalaman pelawat, piawaian kebersihan, kecekapan pengurusan serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
Yee Ling berkata pengiktirafan berkenaan bukan penamat, sebaliknya menjadi permulaan kepada jalinan kerjasama lebih erat antara Tourism Selangor dan pengusaha bagi memperkukuh daya saing produk pelancongan di peringkat domestik serta antarabangsa.
Beliau berkata, produk yang menerima pengiktirafan akan diberi keutamaan dalam pelbagai inisiatif promosi Tourism Selangor termasuk kempen pemasaran rasmi, lawatan suai kenal, lawatan media, promosi digital serta aktiviti pemasaran tempatan dan antarabangsa.
Anugerah merangkumi lima kategori utama iaitu Pelancongan Agro, Pelancongan Kesihatan, Pelancongan Gastronomi, Pelancongan Budaya dan Warisan serta Pelancongan Berasaskan Komuniti.
Majlis Penyerahan Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 turut menyaksikan pelancaran Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2026–2030 serta penyampaian Anugerah ASEAN Tourism Standards (ATS) 2026–2028.







