Mencari destinasi percutian sesuai untuk semua peringkat umur bukan lagi sesuatu yang sukar. Selangor menawarkan pelbagai taman tema dengan konsep berbeza, dari permainan air, hiburan keluarga hinggalah pengalaman pembelajaran interaktif serta kegiatan lasak.
Setiap taman tema ada keunikan tersendiri, sekali gus menjadikan Selangor antara negeri yang menawarkan pilihan rekreasi paling lengkap untuk percutian hujung minggu atau cuti sekolah.
Berikut antara taman tema yang boleh dikunjungi seperti yang disusun wartawan SHEEDA FATHIL. Foto HAFIZ OTHMAN, FIKRI YUSOF dan REMY ARIFIN

Sunway Lagoon, Petaling Jaya
Lokasi ini bukan asing lagi sebagai antara taman tema paling popular di Malaysia. Terletak di Bandar Sunway, taman tema seluas 88 ekar menawarkan lebih 90 tarikan merangkumi enam zon iaitu Water Park, Amusement Park, Wildlife Park, Extreme Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon.
Selain permainan mencabar seperti Vuvuzela dan Pirate's Revenge, pengunjung boleh menikmati pantai buatan, simulator luncur air serta pelbagai aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.

SplashMania, Gamuda Cove
Bagi penggemar taman tema air, SplashMania di Banting menawarkan pengalaman yang tidak kurang mengujakan. Ada lebih 39 permainan dan tarikan, termasuk Kraken's Revenge, antara water coaster terbesar di Malaysia serta Manic Racers yang menguji keberanian pengunjung.
Gabungan permainan ekstrem dan kawasan santai menjadikan SplashMania pilihan sesuai untuk keluarga mahupun pencinta aktiviti lasak.

i-City Theme Park, Shah Alam
Terkenal sebagai City of Digital Lights, i-City bukan sekadar destinasi pada waktu malam. Kompleks hiburan ini menawarkan aneka tarikan seperti WaterWorld, Snowalk, FunWorld dan taman permainan luar yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Pengunjung juga boleh menikmati suasana lampu LED yang menghiasi kawasan tersebut, menjadikan i-City antara lokasi popular untuk keluarga dan sekadar bergambar.

Bangi Wonderland
Terletak di Bangi Avenue, taman tema air ini menawarkan 14 permainan dan gelongsor untuk kanak-kanak serta orang dewasa. Tarikan utamanya ialah Water Cannon, yang dikatakan satu-satunya seumpamanya di Malaysia, selain Insane Racer dan Kids Adventure yang direka khas untuk pengunjung cilik.
Suasana yang lebih santai menjadikan Bangi Wonderland pilihan ideal bagi mereka yang ingin bercuti bersama keluarga.

KidZania Kuala Lumpur
Jika mahukan pengalaman yang menggabungkan hiburan dan pembelajaran, KidZania di Mutiara Damansara antara destinasi terbaik. Kanak-kanak berpeluang mencuba pelbagai kerjaya seperti doktor, anggota bomba, juruterbang, wartawan dan cef dalam suasana bandar mini yang direka khas untuk mereka.
Konsep pembelajaran sambil berhibur menjadikan KidZania bukan sekadar tempat bermain, malah ruang membina keyakinan dan kemahiran hidup.

Farm In The City, Seri Kembangan
Berbeza taman tema konvensional, Farm In The City menawarkan pengalaman mendekati alam semula jadi dan haiwan. Berkonsep kampung tradisional, taman ini menempatkan lebih 100 spesies haiwan yang sebahagiannya dibiar berkeliaran dalam kawasan mesra pengunjung.
Memberi makan, menyentuh dan berinteraksi dengan haiwan menjadikannya pilihan sesuai untuk keluarga yang mahukan pengalaman santai dan pendidikan.







