Culik tuntut RM7 juta, mangsa diselamatkan di i-City kurang 48 jam

18 Jul 2026, 9:48 AM
Culik tuntut RM7 juta, mangsa diselamatkan di i-City kurang 48 jam

SHAH ALAM, 18 JULAI: Seorang mangsa culik untuk tebusan diselamatkan polis dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian dilaporkan, manakala enam suspek ditahan dalam operasi di i-City awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata operasi bersama Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor itu berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di i-City sekitar jam 1 pagi.

Menurutnya, laporan polis diterima pada 17 Julai kira-kira jam 1.30 pagi daripada seorang wanita tempatan berusia 46 tahun yang memaklumkan suaminya diculik dan suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.

"Satu operasi dilancarkan dan pada 18 Julai sekitar jam 1 pagi, pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, Selangor," katanya menerusi kenyataan.

Dalam operasi sama, polis menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun untuk siasatan lanjut.

Kumar berkata pemeriksaan turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, beberapa telefon bimbit serta kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan, selain siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya.

Polis turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, selain memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.