SHAH ALAM, 3 JULAI: Pemilik Projek Rumah Selangorku (RSKU) yang tidak berpuas hati dengan caj penyelenggaraan boleh mengemukakan aduan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk siasatan dan tindakan mengikut Seksyen 52(6)Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan berkata pihaknya meneliti setiap aduan yang diterima, namun tidak mempunyai kuasa menetapkan atau mengubah kadar caj yang dikenakan pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).
"LPHS tidak menetapkan kadar caj penyelenggaraan atau kadar siling bagi projek RSKU, justeru semua aduan berkaitan akan dirujuk kepada COB atau pihak berkuasa yang berkaitan di bawah bidang kuasa Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular membabitkan pemilik RSKU Idaman Cahaya 1 yang mendakwa dikenakan caj penyelenggaraan tinggi walaupun projek itu berstatus rumah mampu milik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan menanggung kos pemilikan kediaman dalam jangka panjang.
Mohd Hafiz berkata penentuan kadar caj itu tertakluk kepada peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan bergantung kepada fasa pengurusan pembangunan strata.

"Semasa pembangunan masih di bawah pengurusan pemaju ia ditentukan berdasarkan anggaran perbelanjaan yang munasabah bagi penyenggaraan dan pengurusan harta bersama serta diagihkan mengikut unit syer yang diperuntukkan bagi setiap petak.
"Sekiranya terdapat pertikaian atau aduan berhubung kadar caj yang dikenakan, pembeli boleh mengemukakan aduan kepada COB untuk siasatan dan tindakan di bawah Seksyen 12(7), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya.
Beliau berkata selepas JMB ditubuhkan, kadar caj penyelenggaraan ditentukan oleh badan itu berdasarkan anggaran perbelanjaan penyenggaraan yang munasabah dan diagihkan mengikut unit syer yang diperuntukkan kepada setiap petak seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 21(1)(b) dan Seksyen 25(3), Akta 757.
Selepas Hak Milik Strata dikeluarkan, katanya, tanggungjawab menentukan kadar caj penyelenggaraan beralih kepada MC mengikut Seksyen 60(3)(a) akta yang sama.
"Sekiranya pemilik tidak berpuas hati terhadap kadar caj atau pengurusan penyenggaraan, aduan boleh dikemukakan kepada COB yang mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang bersesuaian di bawah Seksyen 52(6), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya.
Menurut Mohd Hafiz, kadar caj penyelenggaraan tidak ditentukan berdasarkan kategori rumah, sebaliknya bergantung kepada kos sebenar penyenggaraan dan pengurusan harta bersama.

Katanya, antara faktor yang mempengaruhi kadar caj ialah reka bentuk dan saiz pembangunan, bilangan blok dan tingkat, bilangan lif, keluasan kawasan harta bersama, jenis serta jumlah kemudahan yang disediakan, bilangan unit yang berkongsi kos penyenggaraan dan anggaran kos operasi tahunan.
"Oleh itu, dua projek Rumah Selangorku boleh mempunyai kadar caj penyelenggaraan yang berbeza walaupun berada dalam kategori perumahan mampu milik kerana setiap pembangunan mempunyai ciri fizikal, kemudahan dan kos operasi yang berbeza.
"Bagaimanapun, kadar caj penyelenggaraan bukanlah kadar yang kekal. Selepas JMB ditubuhkan, pemilik melalui JMB boleh menentukan dan menyemak semula kadar Caj Penyelenggaraan berdasarkan anggaran perbelanjaan sebenar yang diperlukan untuk mengurus dan menyenggara harta bersama sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21(1)(b) dan Seksyen 25(3), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
"Setelah MC ditubuhkan, MC juga mempunyai kuasa untuk menentukan dan menyemak semula kadar Caj Penyelenggaraan berdasarkan keperluan kewangan semasa serta mengagihkannya mengikut unit syer yang diperuntukkan kepada setiap petak sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 60(3)(a), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya.
Justeru, beliau berkata pemilik bukan sekadar pembayar caj penyelenggaraan, sebaliknya turut memainkan peranan melalui JMB atau MC dalam menentukan bajet penyenggaraan dan kadar caj yang munasabah demi kepentingan semua pemilik.







