SHAH ALAM, 21 OGOS: Penambahan 3,000 unit Skim Smart Sewa disifatkan langkah baik dalam membantu golongan yang belum mampu memiliki rumah atau tidak layak mendapatkan pinjaman perumahan.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata skim itu membantu golongan terbabit mendapatkan kediaman selesa pada kadar sewa mampu milik selain memberi ruang untuk memperbaiki kedudukan kewangan.
“Penyewa dapat mendiami kediaman yang selesa pada kadar sewa mampu milik sambil mengumpul simpanan, memperbaiki kedudukan kewangan dan membuat persediaan sebelum mampu memiliki rumah sendiri.
“Tidak semua orang perlu memiliki rumah dengan segera, namun setiap individu tetap memerlukan kediaman selesa, selamat dan mampu didiami mengikut kemampuan kewangan masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Kim Loong, penambahan unit berkenaan juga dapat melengkapkan usaha penyediaan rumah mampu milik untuk dibeli dengan memberi pilihan kepada golongan yang masih belum bersedia memiliki kediaman sendiri.
Katanya, Kerajaan Negeri wajar meneruskan strategi perumahan yang seimbang dengan menyediakan rumah mampu milik untuk dibeli serta rumah sewa mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Kerajaan Negeri sebelum ini menyasarkan peningkatan unit Skim Smart Sewa kepada 3,000 unit menjelang 2030 menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi membantu golongan yang belum layak mendapatkan pembiayaan perumahan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata sebahagian bayaran sewa akan disimpan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum dipulangkan kepada penyewa sebagai bayaran pendahuluan apabila mereka bersedia membeli rumah.









