KLANG, 20 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan RM9.5 juta menerusi program fidyah wang saku bagi membantu 19,000 pelajar dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan miskin sementara di seluruh Selangor.
Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata daripada jumlah itu, RM3 juta disalurkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) untuk manfaat 6,000 pelajar.
Menurutnya, RM4 juta pula diagihkan melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu 8,000 pelajar, manakala baki RM2.5 juta diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang layak.
“Sekurang-kurangnya dapatlah membantu daripada segi makan minum harian mereka supaya pelajar ini dapat melangkah ke sekolah dengan lebih yakin dan juga akan menumpukan perhatian kepada pembelajaran,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sabirin, program tahunan itu turut bertujuan memberi gambaran kepada masyarakat mengenai penyaluran wang fidyah yang ditunaikan melalui MAIS kepada golongan yang memerlukan.
“Selain daripada bantuan wang saku kepada pelajar, bantuan fidyah ini juga disalurkan kepada bantuan lain seperti bakul makanan fidyah yang disalurkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.
Setiap pelajar yang layak menerima kupon wang saku bernilai RM500 secara sekali sahaja yang boleh digunakan di kantin sekolah ditetapkan bagi pembelian makanan dan minuman bernilai RM5 sehari.
Pada 2025, MAIS mengagihkan RM4.68 juta melalui fidyah wang saku pelajar kepada 15,613 pelajar di seluruh Selangor.
Selain bantuan wang saku, sumber fidyah turut dimanfaatkan menerusi Dapur Fidyah yang menyediakan bekalan makanan harian kepada golongan layak serta bantuan kepada mangsa bencana.
Program tahun itu dilaksanakan dengan kerjasama JPNS, JAIS dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang memenuhi syarat sebagai penerima fidyah.










