KLANG, 20 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti hasil siasatan sebelum menentukan tindakan lanjut berhubung kes amang seksual membabitkan seorang guru terhadap pelajar di sebuah sekolah agama di Selangor.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya masih mendapatkan maklumat sahih berhubung kes berkenaan yang ketika ini dalam siasatan pihak berkuasa.
“Buat masa ini, perkara itu pun masih baru kepada kami, kami perlu siasat dulu. Bila dapat, baru kami boleh kongsikan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan turut membabitkan JAIS dan pihak berkuasa lain bagi menentukan bentuk kesalahan sebelum tindakan sewajarnya diputuskan.
Mohd Sabirin berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Kerajaan Negeri menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berharap individu yang disyaki dikenakan hukuman setimpal jika didapati bersalah.
Beliau turut memaklumkan JAIS akan mengambil tindakan wajar selaras undang-undang sedia ada jika perkara itu berkaitan, termasuk meneliti semula status pendaftaran sekolah berkenaan.
JAIS juga terbuka menerima aduan daripada pelajar atau mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur, potensi atau tanda yang boleh membawa kepada insiden gangguan atau amang seksual di sekolah atau asrama.
Pihak berkuasa agama sebelum ini turut menegaskan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pesalah bagi memastikan sekolah menjadi tempat selamat untuk pelajar.







