JBPM Selangor perkukuh kesiapsiagaan hadapi banjir, cuaca buruk

20 Ogos 2026, 7:16 AM
JBPM Selangor perkukuh kesiapsiagaan hadapi banjir, cuaca buruk

SHAH ALAM, 20 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir dan kejadian berkaitan hujan lebat menerusi penambahan 19 unit Kenderaan Light Utility Vehicle (LOV) 4x4.

Pengarah JBPM Selangor Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata penambahan aset berkenaan sebahagian daripada langkah awal jabatan memastikan anggota, kenderaan dan peralatan operasi sentiasa dalam keadaan siap siaga serta boleh digerakkan segera apabila diperlukan.

Katanya, pendekatan “bersedia sebelum berlaku” penting bagi memastikan JBPM Selangor mampu bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan atau bencana, khususnya di kawasan yang terdedah kepada banjir.

“Penerimaan aset ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan keupayaan mobiliti, kesiapsiagaan dan kecekapan pengoperasian JPBM Selangor, khususnya dalam menyokong operasi di seluruh negeri Selangor.

“Kenderaan ini juga akan dimanfaatkan sebagai sokongan utama di peringkat balai bagi melaksanakan tugasan operasi dan pentadbiran, termasuk pergerakan anggota, pengangkutan peralatan, pemantauan kawasan serta sokongan awal ketika berlaku kecemasan dan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah JBPM Selangor Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail melihat 19 unit Kenderaan Light Utility Vehicle (LOV) 4x4 yang diterima menerusi agihan siri keenam daripada Ibu Pejabat JBPM bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi di Selangor, pada 20 Ogos 2026. Foto JBPM

Wan Md Razali berkata 19 unit LOV 4x4 itu diterima menerusi agihan siri keenam daripada Ibu Pejabat JBPM dan penempatannya akan disusun berdasarkan keperluan operasi serta profil risiko kawasan di seluruh Selangor.

Menurutnya, keupayaan kenderaan berkenaan memberi kelebihan kepada anggota untuk bergerak ke kawasan yang sukar diakses, terutama ketika berlaku banjir atau keadaan laluan yang terjejas.

Dalam pada itu, beliau berkata JBPM Selangor terus memperkukuh kesiapsiagaan menerusi pengurusan aset secara sistematik, pemeriksaan berkala, latihan anggota serta penyelarasan operasi di balai-balai bomba dan penyelamat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa sebagai langkah awal menghadapi risiko hujan lebat serta banjir.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berlaku hujan lebat, banjir dan keadaan cuaca yang boleh mendatangkan risiko,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.