SHAH ALAM, 21 OGOS: Sasaran pendapatan median isi rumah melebihi RM14,000 sebulan tidak harus tertumpu kepada kelompok pekerja berkemahiran tinggi sahaja.
Namun, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Syukri Abdullah bimbang tumpuan berlebihan kepada mereka berisiko melebar jurang pendapatan meski pendapatan median naik.
"Kerajaan Negeri perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada sektor berteknologi tinggi dan profesional tetapi juga kepada kumpulan pekerja pertengahan dan separa mahir yang membentuk sebahagian besar tenaga kerja,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Kerajaan Negeri menyasar angka pendapatan sedemikian sebagai ukuran mencapai tahap kehidupan lebih bermaruah.
Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, angka sasaran itu mengambil kira keperluan perbelanjaan asas isi rumah di Selangor yang dianggar sekitar RM7,266 sebulan.
Dr Muhammad Syukri berkata peningkatan produktiviti dan gaji pekerja dalam sektor peruncitan, perkhidmatan, pengangkutan dan perusahaan kecil perlu kerana mereka membentuk tenaga kerja yang besar.
"Risiko utama sekiranya pertumbuhan pendapatan hanya tertumpu kepada golongan berkemahiran tinggi ialah jurang pendapatan akan menjadi semakin luas.
“Dalam keadaan sedemikian, pendapatan median mungkin meningkat tetapi manfaat pertumbuhan ekonomi tidak dinikmati secara sama rata,” kata tenaga pengajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan itu.
Dr Muhammad Syukri berkata situasi itu membawa ketidakseimbangan sosial, meningkatkan tekanan kos hidup bandar dan mengehad mobiliti sosial golongan berpendapatan sederhana serta rendah.
Justeru, beliau menegaskan sasaran pendapatan median melebihi RM14,000 perlu disokong dengan strategi antaranya meningkatkan produktiviti, kemahiran dan nilai pekerjaan rentas sektor.
“Kejayaan sasaran tersebut akhirnya tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pendapatan semata-mata, sebaliknya melalui peningkatan kuasa beli, kemampuan memiliki aset, pengurangan tekanan kos sara hidup dan pengagihan manfaat pertumbuhan ekonomi secara lebih inklusif.
“Sasaran RM14,000 adalah penanda aras yang baik untuk mengukur kemajuan ekonomi Selangor, tetapi kejayaan sebenar ialah apabila lebih banyak isi rumah dapat menikmati peningkatan taraf hidup, bukan sekadar peningkatan angka pendapatan,” katanya.









