SHAH ALAM, 14 APRIL: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diwujud bagi mengelak kebergantungan dengan Rancangan Malaysia sekali gus menjadikan negeri kekal maju dan berdaya saing.
Malah Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan pelaksanaan dalam RS-1 juga dapat membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat.
"Rancangan Selangor ini bukan program Amirudin, projek pejabat Menteri Besar... bukan impian setiausaha kerajaan atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) tetapi program bersama semua.
"Kita laksana RS-1 dengan menggabungkan Rancangan Malaysia, rancangan tempatan, fiskal negeri yang kita gabungkan dalam lima tahun. Kita tidak tunggu Rancangan Malaysia sahaja dan ambil kira juga cadangan syarikat pemaju dan komersial.
"Semua aspek ini kita gabungkan menjadi RS-1 yang mana ia menentukan sasaran kita, menggariskan visi dan strategi serta rancangan ke depan dengan lebih teliti selain rakyat memahami perancangan Kerajaan Negeri," katanya.
[caption id="attachment_696652" align="aligncenter" width="1029"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika sesi bengkel strategik bilangan 2 Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 14 April 2025. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berucap pada sesi bengkel strategik Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15 di sini hari ini.
RS-1 diumum pada Julai 2022 di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Melibatkan beberapa projek besar antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.
Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.
Pada masa sama, Amirudin memaklumkan beberapa beberapa negeri turut menjadikan RS-1 sebagai rujukan dalam pembangunan dan kemajuan masing-masing.
"Mereka bertanya bagaimana perbezaan dengan Rancangan Malaysia dan meletakkan RS-1 sebagai salah satu rencana perancangan negeri selain tidak hanya bergantung dengan perancangan fiskal semata-mata," ujarnya.
[caption id="attachment_696653" align="aligncenter" width="1212"]
Peserta menghadiri bengkel strategik bilangan 2 Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 14 April 2025. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]


