TANJONG MALIM, 19 APRIL: Keadaan realiti semasa serta persekitaran menjadi sandaran pentadbiran dalam merangka pembangunan termasuk Rancangan Selangor (RS) bagi merangkul lebih banyak kejayaan.
Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya perlu memahami elemen berkenaan kerana ia dapat membantu membuat keputusan seterusnya mengambil tindakan tepat dalam menangani sebarang isu.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, penekanan terhadap perkara itu juga membolehkan barisan kepimpinan mengenal pasti kekuatan serta kelemahan sekali gus tampil menjadi negeri yang sentiasa terkehadapan.
“Ini perkara yang kadang kala kita tersilap (tak memahami keadaan semasa). Kita tak tahu di peringkat akar (sesuatu masalah). Kita hanya melihat simptom masalah dan kesannya.
“KIta hanya menguruskan simptom tanpa selesaikan isu di akar umbi. Dengan memahaminya, kita akan dapat buat tindakan dan dapat keputusan tepat.
“Inilah perkara kita sedang laksanakan. Kita lihat asas realiti (semasa) dan data. Dari situ kita bergerak ke depan. Kita tahu 60 peratus ekonomi negeri sektor perkhidmatan, 30 peratus pembuatan, selebihnya lain-lain,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika program Jerayawara Siswa #KitaSelangor di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, di sini malam tadi bersekali penganjuran sambutan Aidilfitri 2025.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri tidak boleh bergantung dengan kejayaan lampau semata-mata kerana tindakan itu berpotensi ke arah kegagalan selain peluang untuk berjaya tipis.
“Inilah yg cuba dibangunkan Selangor sebab waktu ini kita sudah menyedari beberapa cabaran dan apa kekuatan kita,”katanya.


