SHAH ALAM, 15 NOV: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai panduan hala tuju dan pembangunan dasar negeri bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025 akan disambung kepada RS-2.
Dato' Menteri Besar berkata ia berikutan kejayaan negeri mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus melebihi sasaran asal 6.5 hingga 7.0 peratus.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, RS-2 bertunjangkan kerangka RS-1 akan diteruskan untuk tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran mengekalkan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara.
Beliau menjelaskan ia juga bagi meningkatkan lagi nilai sumbangan kepada KDNK negara dan masih menekankan pembangunan seimbang setiap daerah merentasi seluruh negeri.
"RS-2 juga akan terus memantau status pelaksanaan program, projek dan inisiatif (PPI) dan 20 pemacu perubahan serta pencapaian 16 makro indikator dalam Kajian Separuh Penggal RS-1," katanya.
Beliau berkata RS-2 mencapai matlamat, pembangunannya akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia ke-13, termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, Amirudin menambah sebanyak RM3.5 juta turut diperuntuk bagi penyediaan dokumen RS-2 melibatkan kajian, sesi libat urus, bengkel, promosi dan dokumentasi.
"Anggaran garis masa pembangunan RS-2 adalah 15 bulan bermula Januari 2025 sehingga pembentangan dalam sidang Dewan yang dijadualkan sekitar Februari 2026," katanya.
Tahun lalu, Selangor menyumbang 25.9 peratus kepada KDNK dengan nilai aktiviti ekonomi berjumlah RM406.1 bilion sekali gus menjadi negeri pertama melebih paras nilai RM400 bilion.


