KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini pagi tadi, dibawa pulang ke Kampar, Perak malam ini untuk urusan pengebumian.
Terdahulu, ketiga-tiga jenazah selesai dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang di sini kira-kira 8.20 malam.
Tinjauan di pekarangan masjid berkenaan mendapati ahli keluarga terdekat mangsa di sekitar Lembah Klang turut berkumpul sejak petang tadi bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kesemua jenazah kemudiannya dibawa menaiki tiga van jenazah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar.
Dalam kejadian menyayat hati kira-kira 1 pagi tadi, empat sekeluarga yang difahamkan sedang bercuti di ibu negara, dirempuh lori “Black Maria” JIM ketika sedang melintas jalan.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, cedera parah dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori JIM tanpa muatan yang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memasuki persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Kenderaan rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh keluarga tersebut serta sebuah kereta Inokom Matrix.







