Jenazah kakitangan JPS maut terbelit tudung dikebumi malam ini

16 Ogos 2026, 9:05 AM
Jenazah kakitangan JPS maut terbelit tudung dikebumi malam ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Jenazah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam, Selaton Nuri, 55, yang maut selepas tudungnya terbelit pada penggelek pintu kunci air, dijangka dikebumikan malam ini.

Anak Allahyarham, Muhammad Hafiz Basar, 23, berkata jenazah ibunya kini berada di Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Bagan Terap.

"Sebelum ini jenazah berada di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan dibawa ke HSB sekitar jam 10.30 pagi tadi.

"Insya-Allah, selepas selesai (bedah siasat) jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Mujahiddin, Pekan Bagan Terap untuk disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap selepas solat Isyak," katanya, lapor Berita Harian.

Allahyarham meninggalkan suami, Basar Maslan, 63, serta enam anak berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian berlaku ketika Allahyarham yang bertugas sebagai penjaga kunci air sedang menutup pintu air susulan keadaan air pasang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira jam 4 petang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.