TAPAH, 17 NOV: Jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, anggota polis yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini, selamat disolatkan di Surau Al-Ehsaniah, Kompleks Perumahan PDRM Tapah sebelum dibawa pulang ke Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan.
Jenazah Allahyarham tiba di surau tersebut pada 5.53 petang dan solat jenazah diimamkan Ketua Cawangan Agama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak Ahmad Fathullah Rosli itu, disertai kira-kira 200 orang terdiri daripada rakan setugas, kepimpinan PDRM dan ahli keluarga.
Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Allahyarham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah merupakan antara 11 anggota polis yang berada dalam van itu, ketika dalam perjalanan ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan yang dipinjamkan untuk kegunaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baru selesai.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Kamil Abdul Munim turut menziarahi waris dan ahli keluarga Allahyarham, bagi menyampaikan sumbangan serta bantuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar terdahulu mengarahkan Muhammad Kamil menyampaikan sumbangan dan menghulurkan bantuan segera kepada waris Allahyarham, serta anggota polis lain yang terlibat dalam kemalangan itu menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Mohd Alwi berkata kemalangan kira-kira 11.35 pagi itu, turut mengakibatkan empat anggota cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Slim River, manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata kebanyakan kecederaan yang dialami anggota terbabit melibatkan bahagian kepala, selain terdapat anggota yang mengalami patah tangan.
“Kami akan turut memberi perhatian terhadap kebajikan waris Allahyarham, termasuk mempercepat urusan pencen dan tuntutan insurans serta sumbangan menerusi insurans koperasi,” katanya.







