SHAH ALAM, 19 OGOS: Polis masih menyiasat semua aspek, termasuk dakwaan tekanan berhubung kes kematian seorang guru wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Hulu Selangor hujung bulan lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan belum selesai.
"Kita telah mengambil keterangan-keterangan daripada ahli keluarga, pihak pegawai perubatan dan juga rakan-rakan yang berkaitan, namun siasatan belum sampai ke penghujungnya.
"SDR tersebut masih aktif, jadi saya tak boleh beri komen sehingga kita selesai dan rujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata rakaman percakapan melibatkan pelbagai individu, termasuk rakan sekerja mangsa, namun enggan mendedahkan jumlah individu yang telah dipanggil setakat ini.
"Siasatan membabitkan pelbagai aspek, kita tidak pernah menjurus kepada sesuatu selagi siasatan belum selesai, kita terbuka untuk semua aspek siasatan.
"Sekiranya tekanan itu adalah salah satu yang perlu dilihat, sudah pasti kita akan ke arah tersebut juga. Selagi belum selesai siasatan dan tidak dirujuk ke pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya berserta dengan cadangan maka semua aspek siasatan masih terbuka," katanya.
Pada awal bulan ini, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Hulu Selangor sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata polis turut menyiasat dakwaan sebuah bengkel di Kampung Bukit Kapar, Klang dibakar bagi menghapuskan bukti selepas dikaitkan dengan kegiatan meleraikan dan menjual komponen kenderaan.
"Buat masa ini untuk kata sindiket saya tidak berapa yakin sebab hanya dua orang sahaja warga asing yang ditahan iaitu pemilik dan pekerja.
"Namun kita juga tidak boleh menafikan kemungkinan wujud sindiket tetapi dari luar, jadi premis itu mungkin hanya dijadikan tempat untuk sindiket itu meleraikan kenderaan terbabit. Kita juga sedang siasat pemilik tanah kenapa boleh sewakan kepada warga asing," katanya.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan penemuan sebuah van jenazah yang dipercayai dicuri di sebuah bengkel di Bukit Kapar pada 7 Ogos lalu.
Jabatan Imigresen turut menahan 20 warga asing dalam operasi di Jalan Kapar pada 12 Ogos lalu.







