
KLANG, 18 OGOS: Pasukan kriket lelaki Selangor menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila merangkul pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas menewaskan Johor dalam aksi final di Kompleks Kriket Bayu Emas, Klang, hari ini.
Selangor tampil dominan dengan mengumpul 211 larian berbanding 109 larian oleh Johor untuk menang dengan kelebihan 102 larian, sekali gus menamatkan saingan sebagai juara acara kriket T50.
Johor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Kelantan meraih gangsa.
Jurulatih kriket Selangor, Roshan Senna Singh berkata kejayaan itu cukup bermakna selepas anak buahnya menunjukkan komitmen, disiplin dan kerja keras sepanjang persiapan menghadapi temasya.

“Saya amat gembira, bangga dan berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain saya yang membuktikan kemampuan mereka pada SUKMA ini.
“Emas ini memang berhak untuk mereka. Terima kasih kerana mereka menunjukkan semangat mahu berjaya, kerja keras dan disiplin selama ini.
“Untuk acara kriket T50 ini, Selangor memang unggul daripada pasukan lain,” katanya ketika ditemui selepas permainan berakhir.

Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Selangor yang sekadar meraih pingat perak pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak.
Kali ini, skuad Selangor memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melengkapkan kempen dengan pingat emas di hadapan penyokong negeri.










