SHAH ALAM, 18 OGOS: Kawasan sawah yang sebelum ini mencatat hasil rendah sehingga dianggap kurang produktif kini berjaya dipulihkan menerusi Projek Perintis Jelapang Padi Darul Ehsan (JPDE), dengan hasil meningkat daripada purata 4.29 tan metrik sehektar (MT/ha) kepada 7.5 MT/ha semusim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pencapaian itu direkodkan menerusi projek perintis seluas 242.81 hektar (600 ekar) di kawasan sawah yang sebelum ini hanya menghasilkan sekitar dua hingga empat MT/ha.
Menurutnya, kejayaan berkenaan membuktikan kawasan sawah terosot masih mempunyai potensi untuk dipulihkan dan kembali produktif menerusi penggunaan teknologi, mekanisasi serta benih padi baharu.

“Dulu kawasan ini hasilnya rendah, ada yang hanya dua tan, tiga tan dan maksimum sekitar empat tan sehektar. Alhamdulillah, selepas kita laksanakan projek ini, kita berjaya capai 7.5 tan sehektar.
“Kita sudah ada ramuan dan standard operasi prosedur (SOP). Kita tahu berapa tenaga kerja diperlukan, kaedah pemantauan, baja yang digunakan, teknologi serta mesin yang sesuai. Jadi, kita hanya perlu ikut kaedah yang sudah dibangunkan,” katanya kepada Media Selangor.
Mohamad Khairil berkata kejayaan projek perintis itu kini diteruskan menerusi peluasan JPDE secara berfasa membabitkan kawasan seluas 2,858 hektar di lapan lokasi sekitar Tanjong Karang dan Sabak Bernam.
Katanya, pendekatan yang dibangunkan Selangor itu turut mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang mahu teknologi serta kaedah JPDE diperluas ke negeri pengeluar padi lain.
“Sekarang kita sudah bantu di Pekan, Pahang dan turut berbincang dengan EXCO Pertanian Negeri Sembilan mengenai kerjasama strategik. Insya-Allah nanti kita akan ke Perak pula,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian hasil 7.5 MT/ha secara meluas berpotensi memberi kesan besar kepada industri padi negara, termasuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import beras.
Beliau berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berpandangan sasaran hasil berkenaan jika dapat dikekalkan secara meluas berupaya membuka ruang kepada Malaysia untuk beralih daripada negara pengimport kepada pengeksport beras.
“Macam Yang Berhormat Mohamad Sabu kata semalam, sekiranya kita boleh mengekalkan momentum hasil padi 7.5 MT/ha, Malaysia sudah boleh menjadi negara pengeksport beras,” katanya.
Mohamad Khairil berkata kejayaan JPDE sekali gus meletakkan projek itu bukan sekadar sebagai inisiatif meningkatkan hasil padi Selangor, malah berpotensi menjadi model pemulihan sawah terosot yang boleh dikembangkan ke kawasan lain bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.










