SHAH ALAM, 10 NOV: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa pesawah berpengalaman dari Semenanjung bagi membantu pembangunan sawah baharu di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata setakat ini pesawah tempatan di kedua-dua negeri tersebut mampu mengendalikan projek pembesaran dan pengurusan sawah baharu dengan baik.
“Setakat ini, rakyat Sabah dan Sarawak mampu mengendalikan pembesaran ataupun sawah-sawah baharu yang dibuat di sana,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli parlimen itu mencadangkan agar petani berpengalaman dari Kedah serta kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Kemubu (KADA) dibawa ke Sabah dan Sarawak bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu menjelaskan isu keterjaminan makanan kini dilaksanakan secara intensif oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, usaha ini bukan hanya dipacu oleh KPKM semata-mata, tetapi turut melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah serta beberapa kementerian lain.
“Kita gabungkan tenaga antara kementerian dan kedua-dua timbalan perdana menteri juga terlibat secara langsung dalam memastikan agenda keterjaminan makanan negara diberi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, tumpuan utama KPKM kini adalah memperkukuh pengeluaran padi di negeri-negeri yang berpotensi, termasuk Sarawak yang bakal menerima pelaksanaan projek pembangunan baharu.
“Bagi tahun 2026, KPKM memperuntukkan sebanyak RM223 juta bagi melaksanakan sembilan projek pembangunan di Sarawak termasuk di Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan,” katanya.
Inisiatif itu, jelasnya, merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran padi dan memastikan bekalan beras negara lebih stabil, selain program lain yang turut dijalankan di Sabah.
Mohamad menegaskan bahawa kerjasama kerajaan negeri dalam penyediaan tanah amat penting bagi memastikan semua projek keterjaminan makanan dapat dilaksanakan dengan berkesan.




