TASEK GELUGOR, 26 NOV: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan peningkatan purata hasil tanaman padi kepada tujuh hingga 10 tan sehektar di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjelang 2030, hasil penggunaan teknologi baharu, penambahbaikan kaedah pembajaan serta amalan pertanian yang lebih berkesan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sasaran itu turut mengambil kira potensi sesetengah kawasan sawah yang kini mampu menghasilkan antara lapan hingga sembilan tan sehektar, malah terdapat kawasan yang mencapai sehingga 12 tan sehektar.
Beliau berkata peningkatan hasil perlu diberi keutamaan sebelum kementerian mempertimbangkan usaha memperluaskan kawasan penanaman padi kerana pembukaan kawasan sawah baharu turut memerlukan pembangunan sistem pengairan dan kemudahan sokongan yang mengambil masa.
“Kalau ikut jadual dan penjagaan yang betul, hasil boleh meningkat. Jadi, sebelum kami memperluaskan kawasan sawah padi, kami cuba pertingkatkan hasil kawasan sedia ada dengan bantuan teknologi baharu, pembajaan dan sebagainya.
“Di MADA, tahun ini memang berlaku peningkatan hasil kira-kira dua peratus dan sasaran KPKM mungkin boleh capai tujuh hingga 10 tan sehektar menjelang 2030,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI dan Dron Program Pengeluaran Padi di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini.
Mohamad berkata setiap peningkatan hasil sebanyak satu tan sehektar berpotensi memberikan tambahan pendapatan kira-kira RM500 kepada pesawah, sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi tanpa perlu menambah keluasan kawasan tanaman.
Beliau ketika mengulas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena El Nino berkata pihaknya memberi perhatian terhadap pengurusan sumber air, khususnya memastikan paras takungan empangan mencukupi bagi menampung keperluan pengairan sawah sekiranya berlaku cuaca panas berpanjangan.
Menurut Mohamad, keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, termasuk hujan lebat dalam tempoh singkat yang boleh menyebabkan banjir memerlukan kesiapsiagaan berterusan agensi berkaitan bagi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berterusan sehingga Disember.
“KPKM juga sedang berusaha meningkatkan paras simpanan air di Empangan Pedu, Kedah bagi memastikan bekalan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga April tahun depan.
“Kami mahu meningkatkan paras takungan supaya air itu dapat bertahan sekiranya tidak berlaku hujan dan kami mahu menyimpan air itu bagi memastikan bekalan untuk bendang dan sawah mencukupi,” katanya.
Mohamad berkata pihaknya turut memberi perhatian terhadap kerja-kerja penggantian injap Empangan Pedu yang menelan kos hampir RM245 juta dan dijangka siap pada November tahun depan, yang menurutnya kerja penyelenggaraan itu penting bagi memastikan keselamatan serta keupayaan empangan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata sekiranya paras air menunjukkan tanda berkurang dan keadaan cuaca memerlukan tindakan tambahan, KPKM turut mempertimbangkan pelaksanaan pembenihan awan bagi membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan.
-- BERNAMA







