
KLANG, 18 OGOS: Selangor meraih dua pingat perak menerusi sukan boling padang pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) selepas skuad triple lelaki dan fours wanita masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua, hari ini.
Dalam aksi di Kompleks Tertutup Boling Padang Bayu Emas, skuad triple lelaki Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada Sabah 13-17 dalam pertarungan sengit yang berlanjutan hingga permainan terakhir.
Selangor yang dibarisi Iffat Amri Rosli, Adam Danial Mohamad, Andrian Armani Khabini dan Aiman Haziq Ahmad memberikan saingan rapat sebelum Sabah mengesahkan kemenangan untuk membawa pulang pingat emas.
Selangor kemudian menambah satu lagi perak menerusi acara fours wanita selepas tewas kepada Johor 5-17 dalam aksi penentuan pingat emas.

Skuad wanita yang dibarisi Khairunisa Aisy Mohd, Puteri Aira Azman Shah, Nur Dina Najwa Tarmizi dan Damia Aleesya Mohd Irman terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam perlawanan penentuan tersebut.
Dua pingat perak itu menyumbang kepada kutipan Selangor dalam acara boling padang pada SUKMA 2026.










