Emas SUKMA jadi hadiah Andrian buat ibu bapa selepas lapan tahun

24 Ogos 2026, 4:00 AM
Emas SUKMA jadi hadiah Andrian buat ibu bapa selepas lapan tahun

KLANG, 24 OGOS: Pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi detik paling bermakna buat atlet boling padang Selangor, Andrian Asyarani Khabini.

Andrian berkata kejayaan itu tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan sokongan berterusan ibu bapanya sepanjang perjalanan dalam sukan berkenaan.

"Pengorbanan mak dan ayah untuk saya bertanding dalam sukan ini amat besar. Macam-macam yang mereka lakukan, hantar saya pergi latihan, keluarkan duit untuk membeli itu, beli kelengkapan sukan.

"SUKMA ni antara temasya sukan yang paling besar di Malaysia, dan saya tahu saya ada banyak melakukan kesalahan kepada mereka. Justeru, emas ini adalah hadiah yang saya tunggu selama lapan tahun untuk kedua-dua ibu bapa saya," katanya kepada Media Selangor.

Tegasnya lagi, dia bertekad untuk mewakili negara dalam sukan itu dan akan terus berusaha mencapai lebih banyak kejayaan.

Sementara itu, atlet boling padang termuda Selangor, Lia Zuleeqa Zilhan Azril Hasrul berkata, sokongan dan nasihat daripada bapanya banyak membantu dirinya mengekalkan prestasi sehingga berjaya meraih pingat.

"Apa yang ayah saya selalu pesan ialah jangan berputus asa, selagi perlawanan belum tamat, teruskan sampai dapat kemenangan.

"Apa yang sentiasa saya pegang, jangan lalai, jangan leka, kekal fokus pada permainan. Tidak kira apa jua keputusan perlawanan, yang penting saya telah memberikan persembahan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Nur Dina Najwa Tarmizy Abdullah berkata pengorbanan yang dilalui mereka amat berbaloi selepas memastikan pingat emas berada dalam genggaman mereka.

"Kami berlatih sejak Januari sebelum SUKMA. Alhamdulillah kami dapat buat yang terbaik pada hari terakhir (acara) dan kami telah buktikan yang kami boleh buat," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.