SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai 44 pesara tentera tidak berpencen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat menerima baucar Jom Shopping bernilai RM200 seorang sempena sambutan Hari Pahlawan Negeri Selangor.
Baucar berkenaan disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah menerusi Majlis Sumbangan Mesra Rakyat dan Penyerahan Baucar Jom Shopping di Batu Laut, semalam.
Borhan berkata pemberian itu merupakan tanda penghargaan kepada pesara tentera atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan keamanan serta keselamatan negara.
“Kesemua 44 pesara askar tidak berpencen menerima baucar Jom Shopping bernilai RM200 setiap seorang sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara,” katanya menerusi Facebook.
Dalam majlis sama, Sumbangan Mesra Rakyat turut disampaikan kepada 44 penerima terdiri daripada sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta individu.
Menurut Borhan, sehingga Jun lalu, sebanyak RM315,599.59 telah disalurkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Tanjung Sepat bagi membantu masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan.
“Usaha menyantuni masyarakat akan diteruskan dan setiap bantuan akan dipastikan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Program Jom Shopping merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu kumpulan sasar mendapatkan barangan keperluan harian.







