
SERDANG, 18 OGOS: "Bukan rezeki anak saya untuk menang emas."
Demikian luahan Mohamad Adham Rosli selepas anaknya, pelari Selangor Siti Nur Fatihah terpaksa menerima rawatan ketika beraksi dalam acara 3,000 meter lari berhalangan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.
Atlet berusia 19 tahun itu hanya berbaki kira-kira 30 meter untuk menamatkan perlumbaan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum rebah selepas gagal melepasi halangan terakhir.
Fatihah dipercayai mengalami dehidrasi dan strok haba susulan cuaca panas melebihi 33 darjah Celsius.
Insiden itu menyaksikan Fatihah menerima rawatan di khemah perubatan bersama lima lagi atlet yang turut terjejas akibat cuaca panas ketika pertandingan berlangsung.
Suasana di khemah perubatan turut menyentuh hati apabila Mohamad Adham, dilihat mengurut sambil memberikan kata-kata semangat kepada anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Mohamad Adham berkata beliau reda dengan apa yang berlaku dan menganggap peluang Fatihah meraih pingat emas kali ini bukan rezekinya.
"Bukan rezeki anak saya untuk menang emas. Kasihan tengok keadaan dia kerana dia dihalang oleh faktor luaran tetapi ini semua ketentuan dan saya mahu dia bangkit semula lebih kuat.
"Pada SUKMA sebelum ini dia mendapat tempat kelima dan dia berpeluang menang emas kali ini, tetapi saya lega tiada apa-apa yang serius berlaku kepadanya," katanya kepada Media Selangor.
Menurut Mohamad Adham, Fatihah mula meminati acara olahraga jarak jauh sejak di bangku sekolah dan sering mencipta kejayaan dalam acara merentas desa.
Minat itu kemudiannya membuka laluan buatnya dipilih mewakili Selangor di peringkat lebih tinggi sebelum membuat penampilan pada temasya SUKMA.
Dalam pada itu, beberapa wakil kontinjen turut menyuarakan kebimbangan terhadap jadual pertandingan, khususnya acara jarak jauh yang diadakan pada sebelah petang ketika cuaca panas.
Mereka berharap aspek keselamatan dan kesesuaian waktu pertandingan diberi perhatian bagi mengelakkan insiden membabitkan atlet akibat cuaca panas daripada berulang sepanjang baki saingan SUKMA 2026.







