
SHAH ALAM, 18 OGOS: Menjadi satu-satunya pemain Melayu dalam skuad polo air lelaki Selangor tidak menghalang Khairul Dean Harith Khairul Annuar, 16, membantu pasukan meraih pingat perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.
Ibunya, Zane Qamariah Ambotang berkata beliau berbangga melihat anak keduanya itu bukan sahaja gigih menjalani latihan, malah berjaya menyesuaikan diri dengan baik bersama rakan sepasukan sepanjang persiapan menghadapi temasya berkenaan.
"Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan anak kedua saya. Dia bekerja sangat keras setiap hari, setiap minggu untuk persiapan SUKMA.
"Dia juga dapat menyesuaikan diri dengan pasukan walaupun menjadi satu-satunya pemain Melayu dalam pasukan ini," katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Menurutnya, sokongan daripada rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan banyak membantu Khairul Dean membina keyakinan dan memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan.
"Pasukan sangat menyokong dia, termasuk jurulatih dan mereka banyak membantu dan memberikan sokongan kepadanya," katanya.
Khairul Dean yang sebelum ini aktif dalam pelbagai jenis sukan mula menceburi polo air ketika berusia 12 tahun.
SUKMA 2026 menjadi penampilan sulung atlet berusia 16 tahun itu di temasya dwitahunan berkenaan.
Dalam pada itu, Zane Qamariah menyifatkan pengalaman pertama anaknya beraksi di pentas SUKMA sebagai pemangkin untuk terus mengembangkan potensi dalam sukan polo air.
Beliau turut berharap kejayaan meraih pingat perak bersama skuad Selangor membuka lebih banyak peluang kepada Khairul Dean dan pasukan itu untuk menimba pengalaman serta bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.








