Abang jadi inspirasi Khairul Dean ceburi polo air, menyerlah di pentas SUKMA

19 Ogos 2026, 3:00 AM
Abang jadi inspirasi Khairul Dean ceburi polo air, menyerlah di pentas SUKMA
Abang jadi inspirasi Khairul Dean ceburi polo air, menyerlah di pentas SUKMA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Bagi Khairul Dean Harith Khairul Annuar, 16, minat terhadap sukan polo air bukan lahir secara kebetulan.

Segalanya bermula apabila beliau menjadikan abang sebagai inspirasi untuk menceburi sukan berkenaan.

Ibu atlet itu, Zane Qamariah Ambotang berkata Khairul Dean mula bermain polo air ketika berusia 12 tahun selepas mengikut jejak langkah abangnya, yang kini menjalani latihan bersama skuad polo air di Australia.

Menurutnya, meskipun dipisahkan oleh jarak, kedua-dua beradik itu tetap berhubung dan sering bertukar pandangan mengenai latihan serta teknik permainan.

“Dia ikut jejak abang yang juga bermain polo air dan sekarang abangnya sedang berlatih di Australia bersama skuad di sana.

“Walaupun dengan jarak yang jauh, mereka masing-masing saling mendorong dan ia merupakan satu benda yang bagus apabila adik-beradik bermain sukan yang sama,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Zane Qamariah Ambotang (kiri) ditemu bual Media Selangor bersama anaknya, Khairul Dean Harith Khairul Annuar yang membantu skuad polo air lelaki Selangor meraih pingat perak pada SUKMA 2026.

Zane menyifatkan peluang Khairul Dean beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai satu pencapaian yang membanggakan kerana ia memberi ruang kepada anaknya untuk membina keyakinan dan bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

Beliau turut berharap lebih ramai pemain muda berpeluang mengikuti latihan dan pertandingan di luar negara bagi meningkatkan tahap permainan.

Katanya, pendedahan di peringkat antarabangsa penting untuk membantu pemain memahami corak permainan berbeza, selain mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

Pada penampilan sulungnya di SUKMA 2026, Khairul Dean membuktikan kemampuannya apabila membantu Selangor membawa pulang pingat perak dalam acara polo air lelaki selepas tewas kepada Sarawak pada aksi final, kelmarin (17 Ogos).

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.