MBDK rancang program pemandulan tangani populasi anjing terbiar di Klang

17 Ogos 2026, 11:45 AM
MBDK rancang program pemandulan tangani populasi anjing terbiar di Klang

SHAH ALAM, 17 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merancang untuk bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program pemandulan anjing terbiar.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, inisiatif tersebut diambil selepas mengambil kira populasi anjing terbiar semakin meningkat di bandar raya itu, lapor The Star.

Menurutnya, inisiatif yang dicadangkan itu akan menggunakan pendekatan tangkap-mandul-lepas (TNR) dengan kos prosedur pemandulan ditanggung NGO, manakala MBDK menyediakan tempat perlindungan sementara untuk haiwan berkenaan sepanjang proses tersebut.

“MBDK menyasarkan untuk mengurangkan populasi anjing liar di bandar raya ini secara berperingkat menerusi pelaksanaan program TNR.

“Anjing yang ditangkap dari jalan akan dimandulkan dan kita berharap NGO dapat membantu menempatkan haiwan berkenaan untuk diambil sebagai haiwan peliharaan, bukannya dilepaskan semula ke jalanan,” katanya.

Berdasarkan rekod, kira-kira 11,000 ekor anjing liar berkeliaran di sekitar Klang, sehingga kerap menerima aduan daripada orang awam.

Abd Hamid menjelaskan, pihaknya juga akan memastikan kakitangan terlatih dari Jabatan Kesihatan MBDK digerakkan bagi menangkap anjing liar dengan selamat dari kawasan perumahan sebelum ditempatkan di pusat perlindungan milik mereka.

“Kita mahu haiwan ini ditawarkan untuk pengambilan supaya mereka dapat memiliki rumah baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata usaha kebajikan haiwan yang dilaksanakan antara Januari hingga Jun tahun ini menyaksikan 430 ekor anjing dan 18 ekor kucing divaksin.

“Dari Januari hingga Julai, sebanyak 2,125 lesen anjing dikeluarkan berbanding 2,298 lesen bagi keseluruhan tahun lalu,” katanya.

Katanya, perancangan untuk mengurus populasi anjing liar dengan lebih baik akan terus diberi keutamaan, selain memastikan keselamatan awam dan kebajikan haiwan terpelihara.

“MBDK kini dalam fasa akhir pembinaan pusat perlindungan anjing liar di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dengan anggaran kos sekitar RM1 juta.

“Pusat perlindungan ini akan menempatkan anjing liar atau terbiar sebagai sebahagian pendekatan pengendalian haiwan secara berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Pusat ini akan dikenali sebagai Canine Housing and Neutering Centre, dibina di atas tapak berbentuk segi tiga seluas 2.5 hektar di Taman Perindustrian Pulau Indah,” katanya.

Beliau berkata, anjing yang dibawa ke pusat berkenaan akan dimandulkan bagi mengawal populasinya serta menangani aduan berkaitan anjing yang tidak berlesen.

“Kita mahu menggalakkan orang ramai datang ke pusat berkenaan dan mengambil haiwan yang telah dimandulkan,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.