EXCO: PBT diminta sedia peruntukan khas program pemandulan anjing

19 Ogos 2026, 2:00 AM
EXCO: PBT diminta sedia peruntukan khas program pemandulan anjing

SHAH ALAM, 19 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan diarahkan menyediakan peruntukan khusus tahun depan bagi memperluas program pemandulan sebagai langkah mengawal pembiakan anjing liar secara lebih sistematik.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata langkah itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan kerajaan tempatan yang dijangka September atau Oktober ini.

“Kita akan mengarahkan semua PBT mengadakan lebih banyak program pemandulan dan menyediakan peruntukan khas untuk tujuan berkenaan.

“Usaha ini bagi memastikan pembiakan anjing liar dapat dikurangkan, dikawal dan akhirnya masalah berkenaan dapat diatasi secara berperingkat,” katanya kepada Media Selangor ketika diminta mengulas langkah menangani isu anjing liar di negeri ini.

Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan secara lebih kerap menerusi kerjasama PBT dengan Ahli Majlis, Ahli Dewan Negeri (ADN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta veterinar.

Suee Lim berkata, isu haiwan terbiar khususnya anjing liar merupakan cabaran yang memerlukan pendekatan lebih terancang dan menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan masyarakat serta kebajikan haiwan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menjawab soalan media ketika sidang media mengenai konsesi Sistem Parkir Pintar atau Smart Intelligent Parking (SIP) fasa pertama di Wisma Dewan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian dan penguatkuasaan juga perlu diperjelas bagi memastikan setiap tindakan terhadap haiwan terbiar dilaksanakan mengikut kaedah serta garis panduan ditetapkan.

Beliau berkata, kos pemandulan seekor anjing menerusi perkhidmatan persendirian boleh mencecah kira-kira RM150, namun pelaksanaan program secara berkelompok dengan kerjasama pihak veterinar berpotensi mengurangkan kos kepada kira-kira RM100 seekor.

"Kita memerlukan sokongan orang ramai, NGO dan semua pihak. Dengan pengendalian lebih teratur, perancangan serta kawalan yang lebih baik, saya yakin masalah ini dapat dikurangkan.

"Pada masa sama, kita perlu mempunyai nilai kasih sayang terhadap haiwan dan memastikan ia dikendalikan dengan cara sewajarnya," ujarnya.

Suee Lim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau sewenang-wenangnya terhadap anjing liar dan haiwan terbiar tanpa melalui saluran serta prosedur ditetapkan.

Sebaliknya, katanya, sebarang aduan membabitkan haiwan terbiar yang menimbulkan gangguan perlu segera disalurkan kepada PBT atau menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya jangan bertindak sendiri atau sewenang-wenangnya tanpa melalui proses yang betul kerana kita khuatir ia boleh menimbulkan implikasi sosial, ketidakpuasan hati atau kontroversi.

"Kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah, bukan mengeruhkan keadaan. Kita semua sayangkan haiwan, cuma setiap tindakan perlu mengikut kaedah, garis panduan dan langkah yang betul," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.