AMPANG, 17 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 24 kompaun menerusi operasi cegah denggi di Pangsapuri Sri Nilam, Bandar Baru Ampang Sabtu lalu.
Operasi dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ di lokaliti wabak tidak terkawal itu sebagai langkah membendung penularan denggi.
MPAJ memaklumkan pemeriksaan membabitkan Blok A hingga F Pangsapuri Sri Nilam serta BOT bersebelahan kawasan kediaman berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan melibatkan Blok A hingga F Pangsapuri Sri Nilam serta BOT bersebelahan dengan Pangsapuri Sri Nilam.
“Operasi ini sebagai langkah kawalan dan pencegahan penularan wabak denggi,” katanya menerusi Facebook.
Menurut MPAJ, sebanyak 1,843 premis dilawati sepanjang operasi berkenaan dengan 386 daripadanya diperiksa.
Hasil pemeriksaan menyaksikan 24 kompaun dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu.
Dalam pada itu, MPAJ menyeru orang ramai supaya sentiasa memastikan persekitaran kediaman berada dalam keadaan bersih.
Langkah tersebut penting bagi memastikan kawasan kediaman bebas daripada lokasi yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Luangkan masa 10 minit seminggu untuk periksa dan hapuskan tempat berpotensi menjadi takungan air,” katanya.










