
KAJANG, 16 OGOS: Dua pesilat wanita Selangor, Nurul Saidatul Syafieqah Ibrahim dan Nurlaili Batrisyia Qistina Mohamad Saifurizal, mara ke suku akhir acara Pencak Silat Puteri Kelas A dan Kelas B pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, hari ini.
Nurul Saidatul terlebih dahulu mencuri tumpuan dalam Kelas A apabila bangkit daripada ketinggalan pada pusingan pertama untuk menewaskan pesilat Perak, Nursyahira Natasha Abdullah, 26-23.
Atlet Selangor itu ketinggalan 2-7 pada pusingan pertama sebelum memperkemaskan aksi untuk mengutip 10 mata pada pusingan kedua, berbanding tujuh mata Nursyahira, sekali gus merapatkan kedudukan kepada 12-14.
Nurul Saidatul kemudian meneruskan kebangkitan pada pusingan terakhir dengan menguasai perlawanan untuk mengutip 14 mata berbanding sembilan mata lawannya bagi memastikan kemenangan 26-23.

Sementara itu, Nurlaili Batrisyia turut menempah tiket ke suku akhir Kelas B selepas menewaskan wakil Kelantan, Siti Najihah Ab Aziz, 42-27.
Pesilat Selangor itu mendominasi dua pusingan awal dengan mengumpul 11-2 dan 13-5 sebelum Siti Najihah cuba merapatkan jurang pada pusingan terakhir dengan kemenangan 20-18.
Bagaimanapun, kelebihan yang dikumpul Nurlaili Batrisyia pada dua pusingan awal sudah memadai untuk mengesahkan kemenangan dan meneruskan cabaran Selangor ke peringkat suku akhir.
Kedua-dua pesilat Selangor kini akan meneruskan misi memburu kemenangan seterusnya dalam usaha melangkah lebih jauh dan membawa pulang pingat buat kontinjen negeri.







