
SERDANG, 16 OGOS: Selepas bermula agak perlahan dalam saingan trek, Kontinjen Selangor akhirnya menuai emas pertama olahraga menerusi acara lempar cakera wanita pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
Atlet berusia 17 tahun, Sasha Alyssa Philip muncul juara selepas melakukan balingan sejauh 44.93 meter, sekali gus mengatasi wakil Perlis dan Sarawak.
Lebih manis, catatan berkenaan turut menjadi rekod peribadi terbaik Sasha, sekali gus menebus kekecewaan selepas hanya menduduki tempat ketiga pada temasya di Sarawak sebelum ini.
Sasha berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna selepas segala usaha dan sokongan yang diterimanya membuahkan hasil di pentas SUKMA kali ini.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan diri saya sendiri dan mahu berterima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini.
“Ia satu persaingan yang sukar kerana semua peserta memberikan aksi terbaik dan saya gembira dapat beraksi bersama teman-teman seperjuangan,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, beliau sememangnya menyasarkan catatan peribadi terbaik pada SUKMA 2026 dan berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk mencatatkan balingan lebih jauh pada kejohanan akan datang.
“Saya memang berharap untuk melakukan catatan peribadi terbaik dan gembira dapat melakukannya. Saya harap dapat lakukan lemparan lebih baik pada kejohanan selepas ini,” katanya.
Kejayaan Sasha menghadiahkan emas pertama bagi skuad olahraga Selangor dalam saingan SUKMA 2026, sekali gus menyuntik semangat kepada atlet lain untuk terus memburu pingat dalam acara yang masih dipertandingkan.
Pingat emas itu juga menjadi antara pencapaian penting Kontinjen Selangor dalam usaha menambah koleksi pingat dan merealisasikan sasaran keseluruhan pada temasya kali ini.







