KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Polis menahan lima lelaki tempatan dalam dua kes berasingan membabitkan dakwaan mengugut dan mencederakan mangsa di sekitar ibu negara, semalam.
Dalam kes pertama, tiga lelaki berusia antara 20 dan 26 tahun ditahan, kerana disyaki memukul dan mengugut seorang wanita di tanah kosong bersebelahan Dewan Komuniti OUG, Jalan Awan Besar, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Mohd Marsus berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 38 tahun itu pada 2.38 petang, yang mendakwa dimarahi dengan kata-kata kesat, ditumbuk di bahagian kepala dan diugut ketika berada di kawasan berkenaan.
“Melalui hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek berusia antara 20 dan 26 tahun itu, mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata suspek pertama direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 18 Ogos, manakala dua suspek lagi, masing-masing direman sehari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, dua lelaki tempatan berusia awal 30-an ditahan di sekitar kawasan perumahan Razak City Residences, di sini, semalam kerana disyaki terlibat mencederakan seorang lelaki sehingga parah menggunakan senjata pada 9 April.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran sebuah kuil di kawasan Salak South.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara kedua-dua pihak.
“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod dikehendaki di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas seutas gelang tangan besi, yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Mohd Rosdi berkata kedua-dua suspek kini direman sehari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.





