Bagasi mencurigakan depan KLCC, polis tahan lelaki 40 tahun bantu siasatan

14 Nov 2026, 1:01 AM
Bagasi mencurigakan depan KLCC, polis tahan lelaki 40 tahun bantu siasatan

SHAH ALAM, 14 NOV: Penemuan sebuah bagasi mencurigakan di hentian bas berhampiran pintu masuk utama KLCC, Jalan Ampang, malam tadi membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bagasi itu pada jam 7.17 malam, lapor BH Online.

Susulan itu, beberapa unit khas termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dikesan dalam bagasi berkenaan sebelum lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Ahmad Azwan berkata demikian menerusi kenyataan yang turut memaklumkan penahanan lelaki berusia 40 tahun itu.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

Penemuan bagasi itu sebelum ini menarik perhatian pengguna media sosial apabila beberapa hantaran di Threads mempersoalkan kehadiran anggota polis serta kesesakan lalu lintas di sekitar pintu masuk utama KLCC.

Antara hantaran berkenaan turut mendakwa laluan keluar di kawasan itu tidak dapat digunakan, selain memaparkan beberapa kenderaan polis yang berada di lokasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.