KUALA LUMPUR, 14 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 29 individu termasuk seorang warga asing, kerana disyaki mempromosi dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan haram menerusi platform media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun itu, ditahan menerusi operasi khas Ops Mega TikTok 2026, yang dijalankan bermula 10 hingga 12 Okt.
Beliau berkata operasi memantau aktiviti pertubuhan yang diwartakan haram oleh kerajaan itu, dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Hasil operasi melibatkan 11 kontinjen iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak, sebanyak 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing, berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
M. Kumar berkata kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, bagi mengenal pasti peranan mereka dalam kumpulan serta penglibatan dalam aktiviti jenayah lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan memiliki propaganda serta menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di samping Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi suspek warga asing.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja berkongsi rakaman video berpotensi menimbulkan kegusaran awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar konsisten menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah terancang kepada pihak polis, melalui saluran rasmi atau di balai polis berhampiran,” katanya.






