Penunggang motosikal maut digilis lori di Jalan Pelabuhan Barat

14 Nov 2026, 5:21 AM
Penunggang motosikal maut digilis lori di Jalan Pelabuhan Barat

SHAH ALAM, 14 NOV: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Pelabuhan Barat, Klang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori yang berada di lorong kanan sebelum motosikalnya bergesel dengan kenderaan berat itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata geseran berkenaan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kiri jalan sebelum digilis sebuah lagi lori yang berada di lorong berkenaan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.36 malam semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Selatan atau pegawai penyiasat, Insp Mohamad Mustakin Najri menerusi talian 012-582 6983.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama," katanya lagi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.