SHAH ALAM, 26 MEI: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama disamping Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Amirudin yang juga menteri besar Selangor menggantikan Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini memegang jawatan itu.
Setiausaha Agung KEADILAN Dr. Fuziah Salleh dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, memaklumkan penyusunan strategik itu bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya lagi, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin pula dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya yang akan dibantu Datuk Ruji Ubi, bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya.
“Pelantikan ini sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya KEADILAN terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.
“Penyusunan ini juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem serta teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS,” katanya.
Menyentuh peranan yang akan dimainkan Nurul Izzah, Fuziah dalam kenyataan sama menjelaskan bahawa timbalan presiden KEADILAN itu akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.
“Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan KEADILAN terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.
“KEADILAN sedar bahawa kekuatan parti tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat pusat, tetapi pada ribuan anggota di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari,” katanya.
Tambahnya, keanggotaan baharu parti itu dari April hingga Mei tahun ini mencecah 5,936 orang.
“Dalam semangat yang sama, KEADILAN merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti.
“KEADILAN kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.”









