Jual ayam golek tanpa lesen, bina sekatan tanpa kelulusan antara kesalahan dikesan MPS

16 Ogos 2026, 4:15 AM
Jual ayam golek tanpa lesen, bina sekatan tanpa kelulusan antara kesalahan dikesan MPS

SHAH ALAM, 16 OGOS: Aktiviti menjual ayam golek tanpa lesen serta pembinaan sekatan dalaman tanpa kelulusan antara kesalahan dikesan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi bersepadu di sekitar Gombak, 12 Ogos lalu.

Operasi membabitkan Jabatan Pelesenan, Jabatan Bangunan, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan serta Jabatan Korporat MPS dengan pemeriksaan dijalankan di Jalan Taman Gombak dan Jalan Desa 1/3, Desa Aman Puri.

Di Jalan Taman Gombak, MPS mendapati sebuah premis menjalankan aktiviti menjual ayam golek di hadapan rumah tanpa lesen.

Pemilik premis kemudian dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Establisymen Makanan, selain lima unit barangan disita.

Pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan pemeriksaan terhadap aktiviti menjual ayam golek di sebuah premis di Jalan Taman Gombak pada 12 Ogos 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang

Sementara itu, pemeriksaan di Jalan Desa 1/3, Desa Aman Puri mendapati sebuah premis menjalankan aktiviti pusat tuisyen dan pusat jagaan dengan sekatan dalaman yang dibina tanpa kelulusan.

Susulan itu, MPS mengeluarkan Notis Tutup Premis dan menyita 36 unit barangan. Kompaun turut dikenakan di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam kenyataan di Facebook, MPS berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan aktiviti perniagaan serta penggunaan premis mematuhi peraturan dan ketetapan yang berkuat kuasa.

"MPS akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perniagaan serta penggunaan premis mematuhi peraturan dan ketetapan yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.