Karnival kerjaya Hulu Selangor tawar 5,785 jawatan kosong

16 Ogos 2026, 12:00 AM
Karnival kerjaya Hulu Selangor tawar 5,785 jawatan kosong
Karnival kerjaya Hulu Selangor tawar 5,785 jawatan kosong

HULU SELANGOR, 16 OGOS: Sebanyak 5,785 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi karnival kerjaya sempena Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 Zon Hulu Selangor, hari ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata antara sektor yang menawarkan kekosongan ialah pembuatan, dengan gaji bagi jawatan ditawarkan mencecah RM9,000.

Menurutnya, kira-kira 5,500 daripada keseluruhan kekosongan itu menawarkan peluang pekerjaan di Selangor, manakala selebihnya melibatkan beberapa negeri lain termasuk Perak dan Negeri Sembilan.

“Kita membuka peluang kepada lebih kurang 5,785 pekerjaan kosong antaranya lebih kurang 38 syarikat yang menawarkan gaji lebih daripada RM2,500 ke atas lebih kurang 63.5 peratus. Maksudnya 3,677 pekerjaan itu gaji lebih daripada RM2,700.

“Ini ialah satu peluang kepada rakyat tempatan terutama penduduk di kawasan ini untuk mengambil bahagian dan 5,500 kerja kosong di Selangor sahaja yang baki di utara, selatan, Perak dan Negeri Sembilan.

“Sektor yang paling penting adalah pembuatan sebanyak 2,560 kerja kosong dan selebihnya seperti runcit yang paling banyak,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian jelajah berkenaan di sini, semalam.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berucap sempena program Jelajah Wanita Berdaya Tahan Zon Hulu Selangor di Bukit Beruntung Golf dan Country Resort, Hulu Selangor pada 15 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan lain, Papparaidu berkata Kerajaan Negeri turut merancang membantu guru tadika yang tiada kelayakan diploma untuk meningkatkan tahap pendidikan mereka.

Menurutnya, usaha berkenaan melibatkan kira-kira 20 hingga 30 guru yang mengajar di sekolah atau tadika dan tidak mempunyai diploma.

“Kita tawarkan untuk bantu guru sekolah yang tidak mempunyai sijil. Jadi kita di peringkat MADANI bantu lebih kurang 20 hingga 30 cikgu yang mengajar sekolah ataupun tadika yang tidak mempunyai diploma.

“Kursus dalam tiga bulan selepas itu kita bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 sama dengan diploma. Ini adalah usaha-usaha membantu rakyat kita untuk keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, insentif MamaKerja 2.0 yang menawarkan bantuan RM1,000 kepada ibu bekerja di Selangor turut dilancarkan pada program sama.

Jelajah itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), disaksikan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari.

Siri pertama Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 berlangsung di Zon Petaling pada Jun lalu, diikuti Zon Hulu Langat pada Julai dan Hulu Selangor bulan ini.

Program berkenaan akan diteruskan hingga November depan melibatkan Zon Gombak dan Kuala Selangor.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.